#KUALA LUMPUR, 19 Feb ― Walaupun bukan kali pertama mengarahkan filem seram, Syamsul Yusof tetap merasakan debaran apabila mengalami saat-saat pelik ketika penggambaran Munafik.
#Pernah kameranya tidak berfungsi dalam satu insiden aneh sehingga memaksanya memanggil seorang ustaz berdoa untuk melancarkan penggambaran.
#Syamsul, 31, berkata Munafik lebih mencabar berbanding Khurafat kerana penggambaran kali ini melibatkan tanah perkuburan, bilik mayat hospital dan banglo usang. Filemnya pada 2011 hanya menampilkan babak mayat digali semula dari lubang kubur.
#“Terus terang sewaktu penggambaran [rasa] seram, tetapi tidak cakap ‘seram’. Semua senyap saja buat penggambaran,” katanya di sidang media majlis pratonton filem terbarunya malam tadi.
#“Ada satu babak rumah usang di Puchong dan banyak cerita yang saya dengar tentang rumah itu. Saya tidak peduli, saya hendak juga buat penggambaran.
#“Ada satu babak yang lebih 10 kali kamera fokus [tetapi] tidak dapat, kami pun pelik. Kita panggil ustaz berdoa selepas itu baru berjalan lancar.”
#Filem ke-39 Skop Productions, yang diasaskan bapanya Datuk Yusof Haslam, akan ditayangkan Khamis ini.
#Ia menampilkan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali, Pekin Ibrahim, Sabrina Ali dan Syamsul sendiri.
#Watak Maria, dibawa Nabila, meninggalkan kesan mendalam kepada penonton apabila jeritannya dirasuk ditambah dengan kesan bunyi mendebarkan.
#Nabila, 31, juga mencabar dirinya apabila berani untuk berada dalam peti bilik mayat bagi menjayakan watak seorang wanita yang tertekan diganggu makhluk halus.
#Ditanya pengalamannya melakonkan babak itu, anak sulung Amy Search berkata seseorang pelakon itu harus serius memberikan komitmen menjayakan watak yang diberikan.
#“Saya memang rasa seram tetapi kerja hendak diteruskan juga. Tidak boleh cakap tidak mahu, saya cuma jalankan tugas saya. Bila pengarah kata, saya ikut.
#“Saya tengok sendiri filem ini, saya tidak sangka saya boleh buat macam itu. Saya tengok pun saya penat.
#“Saya rasa ini filem terbaik sepanjang saya berada dalam industri. Saya bersyukur Syamsul beri kepercayaan untuk saya.
#“Sekurang-kurangnya saya ada sesuatu yang orang boleh tengok bakat saya,” katanya kepada media.
#Syamsul berkata filem yang menelan belanja RM1.7 juta itu cerita biasa masyarakat Melayu terutamanya mereka yang pernah berdepan dengan sihir.
#“Saya boleh letak di poster Munafik diilhamkan daripada kisah benar tetapi saya tidak mahu melakukan filem letak benda itu. Saya rasa tidak perlu tulis pun. Sesiapa yang pernah berpengalaman disihir, akan tahu benda itu.
#“Saya ada tiga cerita yang berlainan sebenarnya. Oleh kerana saya mahu penonton menikmati cerita ini, tiga cerita itu saya gabung menjadi satu. Jadi lebih kuat ceritanya dan plot yang lebih mantap,” katanya.
#Pengarah terbaik Festival Filem Malaysia pada 2010 dan 2011 berkata tiada harapan luar biasa disandarkan pada Munafik kerana selera penonton filem negara ini sukar diramalkan.
#“Saya reda sekiranya filem ini kurang mendapat sambutan. Mungkin terlalu berat naskhah filem ini,” katanya.
#Jika penonton gembira menonton filem itu, ia menjadi hadiah terbesar baginya sebagai mengubat kelukaan hatinya apabila KL Gangster 2 bocor di Internet.
0 Response to "Patutla Filem Ini Mendapat Sambutan Luar Biasa Cuba Korang Tengok Betul-Betul Syamsul Yusof Dedah Pengalaman Menakutkan Ketika Pengambaraan Filem Munafik"
Post a Comment